Pada 28 November 2024, Sesi Induksi Maya KALIS berjaya menghimpunkan lebih 120 orang guru dari 105 sekolah, bersama pegawai PPD dan JPN dari enam daerah di Johor. Sesi tersebut menandakan satu langkah penting dalam menyediakan guru KALIS serta pihak berkepentingan lain termasuk guru panitia, pengetua, ketua jabatan, pegawai PPD, dan pegawai JPN untuk pelaksanaan program ini.
Sesi dimulakan dengan majlis pembukaan dan diikuti dengan pengenalan kepada Teach For Malaysia dan Program KALIS. Antara sorotan utama adalah:
Penerangan terperinci mengenai Program Induksi Bersemuka
Sesi soal jawab
Kumpulan aktiviti untuk membinakan visi bersama
Sesi induksi ini telah membentuk asas kukuh bagi kejayaan pelaksanaan Program KALIS dengan membekalkan guru dengan maklumat, alat dan semangat yang diperlukan. Sesi tersebut juga telah mewujudkan rasa kebersamaan dan keselarasan dalam kalangan peserta, memastikan guru KALIS bersedia untuk melaksanakan intervensi yang bermakna dan berimpak tinggi kepada pelajar Pemulihan.
Dengan permulaan yang positif ini serta usaha berterusan dalam memperkukuhkan aspek yang boleh diperbaiki, Program KALIS berada pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamatnya dan memberi impak yang berkekalan terhadap hasil pembelajaran murid.
Program Induksi Bersemuka KALIS yang diadakan pada 16-18 Disember 2024, berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memberikan orientasi rasmi kepada semua guru KALIS, memperkukuh pembangunan kapasiti dan memastikan pelaksanaan intervensi literasi dan numerasi yang berkesan. Dengan kehadiran 105 orang guru dan 6 pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari 6 daerah di Johor menyertai sesi intensif ini, program induksi bersemuka tersebut memberikan pengenalan menyeluruh kepada Teori Kepimpinan TFM, strategi pengajaran berkesan dan latihan penggunaan toolkit bagi meningkatkan hasil pembelajaran murid.
Sepanjang tiga hari sesi, para peserta terlibat dalam bimbingan berstruktur, latihan penggunaan toolkit secara praktikal dan sesi perbincangan interaktif bagi membekalkan guru dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan program dengan efektif. Guru meneroka amalan terbaik dalam literasi dan numerasi asas, mengaplikasikan pembelajaran melalui latihan praktikal serta mengenal pasti cabaran sambil membangunkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan. Sesi ini turut menekankan kepentingan akses kepada geran dan penglibatan komuniti dalam memperkukuh intervensi di bilik darjah.
Salah satu pencapaian utama sesi tersebut adalah penekanan kepada komunikasi yang berkesan, pelaksanaan yang tersusun dan pembangunan profesional yang berterusan. Dengan kejayaan mencapai objektif asas, program KALIS bersedia untuk dilaksanakan dengan lancar dan berimpak tinggi, sekali gus memastikan peningkatan berterusan dalam pembelajaran murid di sekolah.